Friday, January 30, 2015

BAH AIR KUNING

SYAIR BAH AIR KUNING
Ingin hamba bercerita peri
Alkisah  Disember  tahun 2014 masehi
Sama dengan tahun 1435 hijrah
Bah besar datang menerjah.

Di negeri-negeri Pantai Timur
Lebih seminggu hujan mencurah,
Ramai orang resah gelisah
Bah Air Kuning membawa padah.

Air juga umpama api
Masa kecil menjadi kawan
Bila dah besar menjadi lawan
Tiada  kuasa untuk melawan.

26 Disember banjir memuncak
Lebih 200,000 orang lari berpindah
Semakin gawat semakin rancak
Semua pasukan turut dikerah.

Pasukan petugas berpenat lelah
Membawa orang-orag dilanda bah
Menghantar bekalan tiada mudah
Kerana jalanraya banyak yang punah.

Duli Tuanku turut berhiba
Mengenag nasib rakyat jelata
Mencemar duli ke ceruk desa
Melhat sendiri akan petaka.

Memanda Menteri tak senang duduk
Melawat rakyat di segenap pelusuk
Memberi bantuan mana yang patut
Sambil berjanji untuk hari esok.

Ramai orang bernasib baik
Mereka sempat dipungut kutip
Walaupun ramai berderet-deret
Pusat pemindahan semakin sempit.

Musibah datang tidak diundang
Musibah pulang tidak dihalang
Ia mlenyapkan  harta tersayang
Hatta nyawa ada yang melayang.

Bila bah sudah hilang
Harta benda jadi sampah gelimpangan
Berat sungguh mata memandang,
Lebih berat jiwa yang terhalang

Semua yang hilang musnah
Kena  diganti dengan senonoh
Banyaklah wang dari khazanah
Kena belanja lebih berhemah

Hati siapa tidak sayu
Jiwa siapa tidak pilu
Mengenang peristiwa yang berlalu
Sedang masa hadapan kian lesu.

Itulah ujian dan peringatan
Untuk kita bermuhasabah
Bila diri ditimpa musibah
Banyak-banyak mengingat Allah.

Kelana Putra,
Kuala Terengganu.
Jumaat  1 Januari 2015.






1 comment:

  1. Inilah sebuah al-kisah..banjir besar melanda desa dan kota...dikata orang Bah Air Kuning semacam Bah Air Merah..ribuan orang berpindah randah..sambil mengharap bantuan dikerah.

    ReplyDelete