Thursday, February 2, 2012

RENUNGAN AL-QURAN 47

ALLAH TELAH MEMBELI JIWA DAN HARTA BENDA ORANG-ORANG YANG BERIMAN
Allah Taala berfirman dengan maksudnya:
“Seungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah; maka di antara mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam ( Kitab-kitab ) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menepati janjinya  selain daripada Allah? Oleh itu bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual belinya (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar. (At-Taubah: 111)
“Mereka itu ialah orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada kejahatan, serta yang menjaga batas-batas hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang yang beriman (yang bersifat demikian)” (At-Taubah: 112)
Dalam surah At-Taubah ayat 111 di atas, Allah telah menjanjikan balasan syurga kepada orang-orang yang beriman yang menjual diri dan harta bendanya kepada Allah. Orang-orang beriman yang berjuang di jalan Allah ini (berperang jihad fisabilillah) ada yang membunuh pihak musuh iaitu kaum kafir dan ada yang terbunuh. Balasan syurga ini adalah sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah dalam kitab-kitab Taurat, Injil dan Al-Quran. Seandainya penyerahan jiwa dan harta benda yang dilakukan oleh orang-orang yang beriman itu diumpamakan sebagai suatu perniagaan yang menguntungkan, maka Allah menyuruh mereka bergembira kerana jual beli ini ialah suatu kemenanagan yang besar.
Dalam ayat 112 yang  berikutnya Allah swt. menerangkan semua bentuk amal perbuatan orang-orang yang beriman yang meliputi semua amal baik, soleh dan tawa. Dalam ayat ini Allah menyebut mengenai perbuatan-perbuatan bertaubat, beribadat, memuji Allah, mengembara atau berhijrah untuk mencari ilmu dan mengembangkan Islam, rukuk dan sujud (solat), menyuruh berbuat kebaikan dan melarang kemungkaran serta mengjaga batas-batas hukum Allah. Semua ini  menyebabkan mereka bergembira kerana akan mendapat balasan sebagaimana yang telah Allah swt. janjikan.
Sesungguhnya kedua-dua ayat di atas mengandungi peringatan dan petunjuk yang amat bermanfaat bagi orang-orang  yang beriman yang bertujuan untuk mendapat keredhaan dan limpah kurnia Allah bukan sahaja untuk hidup di dunia malah lebih-lebih lagi dalam memperoleh kesejahteraan dan rahmat Allah di akirat kelak.
Apakah setiap kita cukup bersedia, berani dan redha untuk berkorban jiwa dan segala harta benda untuk berperang jihad fisabilillah, untuk mempertahankan Islam dan hanyasenya kerana Allah swt.? Sama-samalah kita berfikir, mengisafi diri dan melakukan yang terbaik supaya pada akhirnya kita juga Allah golongkan sebagai orang-orang yang beriman, taat, berjuang di jalanNya, beramal soleh dan bertaqwa.
Sekian,was'salam!

1 comment:

  1. Sesungguhnya Allah telah membeli jiwa & harta benda orang-orang yang beriman dengan balasan syurga. Apakah diri kita termasuk sebagai salah seorang daripada golongan yang tetap pasti memperoleh keuntungan dan kemenangan yang besar ini?

    ReplyDelete