Allah Taala berfirman dengan maksudnya: MMM IST NAFKAHKAN…
“Bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya
pada jalan Allah, ialah sama seperti biji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh
tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah),
Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah
Maha Luas (rahmat) kurnianya, Lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya” (Al-Baqarah:
261)
“Wahai orang-orang
yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu
yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk
kamu. Dan janganlah sengaja kamu memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu
dermakan dan kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak
sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu),
kecuali dengan memejam mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha
Kaya, lagi sentiasa Terpuji. (Al-Baqarah:267)
“Syaitan itu menjanjkan (menakut-nakutkan) kamu dengan
kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah dan berderma) dan ia menyuruh
kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut), sedangkan Allah
menjanjikan kamu dengan keampunan daripadaNya serta kelebihan KurniaNya. Dan (ingatlah)
Allah Maha Luas limpah rahmatnya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya.
(Al-Baqarah: 268)
Ketiga-tiga ayat di atas mengandungi firman Allah swt.
mengenai perihal membelanjakan harta pada jalan Allah iaitu berkait dengan amalan menafkahkan harta iaitu dengan memberikan
derma dan sedekah.
Pertama, orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan
Allah dengan memberi derma dan sedekah akan memperolehi pahala atau kebaikan
berlipat kali ganda. Derma dan sedekah yang diberikan itu Allah umpamakan
sebagai sebiji benih yang mengeluarkan tujuh tangkai dan setiap tangaki itu
mengandungi seratus biji. Itulah kelebihan bagi orang-orang yang memberi derma dan sedekah pada jalan Allah.
Kedua, Allah menyeru orang-orang yang beriman supaya
membelanjakan pada jalan Allah sebahagian daripada hasil usaha yang baik-baik
(umpamanya kekayaan dan harta benda yang halal) dan sebahagian yang diperolehi
dari bumi seperti hasil-hasil tanaman, ternakan, galian dan lain-lain.
Ketiga, Allah melarang
daripada sengaja memilih hasil atau harta yang buruk untuk diderma dan
disedekahkan pada orang-orang lain, sedang mereka sendiri tidak suka menerima
yang buruk itu jika diberikan kepadanya.
Keempat, syaitan sentiasa menakut-nakutkan manusia kepada
kemiskinan dan kepapaan sekiranya mereka menderma dan bersedekah. Bahkan
syaitan itu lebih suka manusia melakukan perbuatan yang keji iaitu dengan
bersifat bakhil dan kedekut.
Kelima, Allah swt. telah menjanjikan ganjaran pahala yang
berlipat ganda, keampunan dan rahmat kurniaNya kepada orang-orang yang
membelanjakan harta benda mereka dengan menderma dan bersedekah atau menafkahnya
di jalan Allah.
Semoga kita dapat mengambil peringatan dan mempelajarinya.
Sekian was’salam!
No comments:
Post a Comment