Sunday, April 10, 2011

TITISAN TINTA SIRI 10

SIFAT-SIFAT TERPUJI (MAHMUDAH) - TAUBAT DAN TAKUT AKAN ALLAH TAALA

HATI ialah cermin diri atau peribadi. Diri manusia terdiri daripada roh, hati, akal dan nafsu. Hati mempunyai kedudukan, kuasa dan pengaruh yang utama terhadap diri setiap manusia sehingga Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda dengan maksud  "Bahawasanya Allah Taala tidak menilik ia kepada rupa kamu, akan tetapi menilik ia kepada segala hati kamu" dan bersabda dengan maksud "Ingatlah, sesungguhnya dalam tubuh manusia terdapat segumpal daging. Jika segumpal daging itu baik, seluruh anggota tubuh menjadi baik. Dan jika rosak, maka hancurlah seluruh tubuh. Ketahuilah segumpal daging itu adalah hati." (Riyawat Bukhari dan Muslim).
Persoalan mengenai diri manusia sememangnya berkisar kepada jasad, roh, hati, akal dan nafsu. Setiap bahagian diri ini mempunyai kedudukan, peranan dan pengaruh masing-masing yang akhirnya melahirkan kepercayaan, keperibadian, sikap, budi pekerti, tabiat, amalan, tingakahlaku dan perbuatan yang tertentu. Para ulama dalam membicarakan soal keperibadian dan akhlak ini telah membahagikan dua jenis sifat akhlak atau budi pekerti iaitu sifat Mahmudah (Terpuji) dan sifat Mazmumah (Terkeji) Imam Al-Ghazali telah menyatakan 10 sifat terpuji yang setiap satunya diberi penjelasan dan kupasan yang mendalam berdasarkan firman Allah s.w.t. dan sabda Baginda s.a.w. 10 sifat terpuji yang dimaksudkan itu ialah:
  1. Taubat daripada segala dosa
  2. Takut akan Allah Taala
  3. Zuhud
  4. Sabar
  5. Syukur
  6. Ikhlas
  7. Tawakkal
  8. Kasih akan Allah Taala
  9. Redha dengan qadha Allah Taala
  10. Mengingat akan mati

Taubat dari segala dosa - Ketahui oleh mu bahawasanya taubat itu permulaan jalan bagi sekelian yang akan menjalani jalan akhirat dan anak kunci bagi tuah sekelian murid, dan bahawasanya taubat itu wajib ia dengan bersegera daripada segala dosa, sekalipun dosa kecil, dan melambatkan taubat itu satu dosa yang lain pula sekalipun berpuluh-puluh tahun. Mengenai taubat  Allah.s.w.t. berfirman  "Dan bertaubatlah kamu sekelian kepada Allah wahai orang yang beriman supaya kamu beruntung." (An-Nuur 31) dan juga firman berikut  "Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya (nasuha) (At-Tahrim:8) Juga firman Allah sw.t. bermaksud   "..dan bahawasanya Allah Taala kasih Ia akan sekelian yang banyak taubat.." (Al-Bakarah: 222).

Ringkasnya kita sebagai hamba dan manusia adalah tidak terlepas daripada kesalahan dan dosa kepada Allah dan juga  kepada sesama manusia sehingga menjadikan taubat satu kewajipan. Baginda s.a.w. mengingatkan kita bahawa Allah kasih kepada orang yang bertaubat dari segala dosa dan berjanji untuk mengampunkannya dengan sabda bermaksud "Orang yang bertaubat itu adalah kekasih Allah, orang yang bertaubat dari dosa seolah-olah tidak berdosa." Baginda s.a.w. walapun maksum atau terhindar dari melakukan dosa-dosa kecil dan besar, masih tetap bertaubat seratus kali dalam sehari.


2. Takut akan Allah - Setiap manusia perlu takut (Khauf) kepada Alah Taalan kerana perasaan takut itu akan dapat menyelamatkan manusia terjerumus ke dalam kancah dosa. Manusia juga wajib takut kepada azab (siksa) Allah di akhirat nanti. Manusia yang takut kepada Allah akan mendapat rahmat-Nya dan akan aman daripada azab seksaan-Nya. Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda dalam sebuah Hadis Qudsi, Allah Taala berfirman: "Demi kemuliaanKu, Aku tidak akan mengumpulkan bagi hambaKu dua ketakutan atau dua keamanan. Jika ia takut kepada Ku di dunia, dia akan Ku amankan di Hari Kiamat. Jika dia merasa aman daripada Ku  di dunia, Aku akan menakutkannya di Hari Kiamat." 


Perasaan takut kepada Allah Taala perlu disertai dengan perasaan harap (Rooja) iaitu mengharapkan rahmat dan keampunan-Nya. Harap tanpa takut tidak memadai kerana ia boleh menyebabkan seseorang itu tidak takut untuk melakukan dosa. Oleh itu takut dan harap perlu ada bersama dalam hati seseorang Mukmin supaya ia menjadi seimbang sebagaimana sabda Baginda s.a.w. bermaksud "Sekiranya ditimbang perasaan takut dan harap daripada seorang Mukmin tentu kedua-duanya akan sama setara."
Seseorang yang takut dikatakan akan mendapat banyak kebaikan atau kelebihan. Ada empat kelebihan yang dijanjikan oleh Allah Taala kepada orang yang takut kepada-Nya iaitu:
  1. Mendapat petunjuk - Allah memberi petunjuk kepada orang yang takut kepadanya kerana ia sentiasa menjaga dirinya dari melakukan kemaksiatan dan menjadi benteng kepada perbuatan dosa. 
  2. Mendapat ilmu - Orang yang berilmu adalah mengenali dirinya dan kenal Allah. Hal ini menyebabkan ia takut kepada Allah Taala. 
  3. Mendapat Rahmat - Allah sentiasa merahmati orang-orang yang takut kepada-Nya. 
Mendapat Redha -  Orang yang takut kepada Allah akan meredhai apa saja ketentuan Allah dan Allah pula meredhai mereka "Allah redha kepada mereka dan mereka redha kepadaNya" (Al-Baiyiyinah: 8)

1 comment:

  1. HATI mempunyai sifat-sifat yang terpuji (Mahmudah) dan sifat-sifat terkeji (Mazmumah). Kerap kali kedua-dua sifat yang terpuji dan yang terkeji ini hadirnya bercampur aduk menyebabkan hati yang pada asalnya suci putih bersih dikotori oleh tompok-tompok hitam disebabkan sifat-sifat yang terkeji. ini dikatakan sebagai hati yang sedang sakit. Atau lebih teruk lagi hati boleh menjadi mati akibat di selubungi/ditutupi oleh banyaknya sifat-sihat yang terkeji, langsung menjadikannya penuh karat tebal hitam legam.

    ReplyDelete