Wednesday, May 18, 2011

SEMBANG-SEMBANG PENDIDIKAN SIRI 3

PEMBANGUNAN MODAL INSAN DI BAWAH RANCANGAN MALAYSIA KESEPULUH 2011-2015
Terlebih dahulu saya ingin ucapkan Selamat Menyambut Hari Guru Tahun 2011 dan kirimkan anda – Cikgu Cintaku Untukmu.
Apakah kita sebagai guru atau kaum pendidik sedar akan suatu hakikat bahawa proses pendidikan yang sedang kita kerjakan ini perlu diubah atau sama-sama kita megubahnya demi menjayakan visi dan misi negara?  
Dalam tempoh lebih 50 tahun selepas mencapai kemerdekaan masyarakat dan negara ini melalui kemajuan ekonomi dan sosial yang begitu pantas. Bermula dengan pembangunan yang begitu terhad sejak tahun 1957 yang berorientasikan eksport komoditi, pembangunan pertanian dan luar bandar, negara mengorak langkah memasuki era perindustrian dan pembangunan ekonomi moden di bawah Dasar Ekonami Baru 1970-1990. Terus digerakkan oleh Wawasan 2020 dengan pembangunan yang lebih gah dan menjadi mercutanda Negara.
Perubahan teraju kepimpinan Negara selanjutnya memperkenalkan konsep Islam Hidari dengan beberapa perubahan seperti Integriti Nasional dan konsep pembangunan modal insan. Dalam tempoh yang singkat teraju kepimpinan Negara  bertukar lagi dan kini kita memasuki era baru dengan Program Transformasi Kerajaan dan Model Baru Ekonomi di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh 2011-2015.
Apakah makna semua perubahan ini kepada sektor-sektor kerajaan, swasta dan masyarakat umum seluruhnya? Dinyatakan bahawa ini merupakan suatu idea dan agenda pembangunan yang menyeluruh dan komprehensif.
Di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh ini terdapat  idea utama iaitu MEMBANGUN DAN MENGEKALKAN MODAL INSAN BERTARAF DUNIA. Keseluruhannya ada tiga strategi besar yang digunakan untuk merealisasikan idea utama memupuk, menarik dan mengekalkan modal insan cemerlang iaitu:
1. Merombak sistem pendidikan untuk meningkatkan prestasi pelajar dengan  signifikan.
2. Meningkatkan kemahiran rakyat untuk meluaskan kebolehpasaran.
3. Menyusun semula pekerjaan untuk menjadikan Malaysia Negara Berpendapatan Tinggi (NBT)
Usaha=usaha untuk menjadikan pendidikan di Negara ini sampai ketaraf dunia mula jelas kelihatan dengan pelbagai rancangan dan program di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh. Seluruh jentera kerajaan terutama sekali kementerian-kementerian dan agensi-agensi berkaitan di gerakkan kearah mencapai matlamat pembangunan modal insan dan mengekalkannya dengan bertaraf dunia.
Jika kita memilih pendekatan futuristik, maka kita harus bermula dengan menilai apa sahaja kejayaan dan kelemahan masa lampau dalam lebih lima dekad lalu untuk menjadi asas kepada kejayaan yang lebih hebat dan terserlah untuk masa hadapan. Pemikiran dan hati kita mestilah mampu melihat dan menjangkakan masa hadapan. Salah satu makna sejarah kepada hidup kita ialah belajar dan mengambil iktibar daripadanya.
Kita perlu menilai secara jujur dengan sikap, minda dan hati yang lebih positif atas hasrat melakukan yang lebih  baik atau terbaik. Bukan memasukkan sentimen dan keutamaan sesuatu pihak.
Ada banyak istilah dan konsep yang disarankan dan pastinya saling berpautan antara satu dengan lain. Kita pasti telah bertemu dan dipertemukan dengan istilah –istilah popular seperti mindset, blue ocean strategy, kritikal thinking, pengurusan kualiti, perancangan dan pengurusan strategik, transformasi, NKRA dll.
 Pertama, kita terlebih dahulu perlu tahu dan faham apakah yang perlu dilakukan terutama sekali yang besangkut paut dengan perkembangan dan perubahan baru dalam aspek-aspek kurikulum, pegagogi, penilaian, teknologi ICT dan khidmat sokongan. Misalnya perkembangan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, pra sekolah dan rombakan KBSR. Sepanjang masa kita perlu berada dalam arus perdana perubahan ini, bukan hanyut ketepi - dipinggir dan meminggirkan diri.
Kedua, kita harus sedar apakah perubahan sikap, minda dan hati yang perlu berlaku pada diri sendiri sebagai guru atau pendidik yang ingin terus berjaya dan mencipta kejayaan bagi setiap murid yang kita sayangi. Sebenarnya kita bukanlah hanya seorang penyampai ilmu pengetahuan dan melatih kemahiran-kemahiran, tetapi yang lebih besar ertinya ialah kita juga mendidik murid dan pelajar untuk memperkasakan minda, hati dan budinya. Pernahkah kita bayangi perasaan hati murid dan pelajar kita sebagai kita sendiri semasa bergelar seorang murid dan pelajar di suatu ketika dulu?
Kita lanjutkan bicara ini dalam siri keempat nanti. INSYALLAH!

No comments:

Post a Comment