Friday, January 17, 2014

Getaran Jiwa - Kembara Insan

Kembara Insan

Perjalanan kita bermula di sini
dari suatu perhentian yang asyik
pentas manusia hilai ketawa
gedung emas dan permata
kita hanyut dan terpesona
kasihkan dunia tidak terperi

Perjalanan ini tidak terperi jauhnya
bukan sejuta batu tidak sejuta tahun
langkah yang tidak mampu dihitung kira
mungkinkah sejauh bumi ke matahari
atau dari bulan ke bintang kejora
apa sekalipun kita tidak mampu undur kembali

Bilakah dan di manakah destinasinya
bukan dengan kapalterbang atau jet supersonik
tanpa bekal air mineral mahupun makanan segera
tiada telefon bimbit tiada komputer riba
hanyalah berbekalkan nur iman dan amal takwa
sahabat sejati lagi setia

Di sana nanti kita berkelana sendirian
hati amat pilu, luka dan duka
meredah lautan keringat, darah dan air mata
mimpi ngeri sangat menakutkan
bayangan pelbagai misteri
benci dan kesal pada wajah sendiri

Sesalan pasti tiada gunanya
hidup dunia dan mati hanya sekali
tiada lagi bantuan dari sahabat dan kerabat
masing-masing bawa diri sendiri
menanti pengadilan Tuhan Yang Maha Bijaksana
mampukah kita terus menunggu
atau mati dalam perjalanan ini?

Kelana Putra
Tasik Kenyir
27 September 2010.

 

No comments:

Post a Comment