Monday, July 23, 2012

RENUNGAN AL-QURAN 86 SEMUA BERSUJUD KEPADA ALLAH


SURAH Ar-Ra’ad: AYAT 15
“Dan kepada Allahlah jua bersujud sekelian makhluk yang ada di semua langit dan bumi, dengan taat atau dengan terpaksa, dan bayang-bayang merekapun (bersujud) pada waktu pagi dan pada waktu petang”.
Ulasan: Semua sujud ertinya semua makhluk mesti mengikut perintah dan peraturan, tidak sekali-kali dapat melepaskan diri daripada tunduk patuh samaada yang tunduk dengan penuh ketaatan mahupun yang tunduk dengan terpaksa bagi yang ingkar. Semua makhluk melain jin dan manusia bersujud kepada Allah SWT dengan penuh ketaatan menurut perintahNya. Tetapi sebahagian daripada  jin dan manusia  adalah kafir,  ingkar dan durhaka kerana tidak mahu bersujud kepada Allah walaupun telah diberi peringatan dan amaran oleh Allah dalam Kitab-kitabNya yang diwahyukan melalui Rasul-rasulnya sejak umat-umat yang terdahulu hinggalah umat yang terkemudian iaitu umat Nabi Muhammad saw. dengan Kitab Al-Quran. Apabila matahari terbit dari timur, bayang-bayang manusia condong ke barat, dan apabila matahari condong ke barat, bayang-bayang manusia condong ke timur. Selagi adanya matahari, selagi itulah adanya bayang-bayang manusia yang turut bersujud, namun telah ramai umat manusia yang menjadi kafir- ingkar durhaka tidak mahu bersujud kepada Allah SWT.


No comments:

Post a Comment