Monday, September 16, 2013

DERITA MELAYU

SAMPAI BILAKAH DERITA MELAYU?
Telah lama Melayu ini derita
446 tahun dibelenggu jajah
khazanah yang kaya raya
diangkut punggah dengan sasa
yang masih sisa direbut rabut
cuma sedikit milik mereka
jadinya Melayu itu bukanlah kaya
30 peratus tidak pernah menjadi nyata
buatnya bermacam-macam
namun yang jadinya tidaklah semacam
Apakah ini kelemahan sendiri ataukah
Melayu hanya bijak berkata bicara
lemah kerja tidak amanah setia
apakah bikinnya tidak pandai
tidak cukup perkasa
minda hati budinya atau
apakah lagi yang tidak kena
apakah lagi yang belum dicuba
apakah hanya sekadar cakap berdegar-degar
apakah hanya disitu mereka berputar-putar
kata ceritanya kini sudah ramai
Melayu yang pandai bijak bestari
apakah semuanya itu hanyalah
indah khabar daripada rupa atau
khabar jahat lagi buruk rupanya
Apakah orang lain itu begitu hebat melanda rempuh
hingga diri Melayu
langsung lumpuh rebah runtuh
entah sampai bila dan bagaimana
apakah kita mahu
apakah kita rela
Derita Melayu ini
pasti tetap menjadi cerita nestapa
sampailah bila-bila?

Kelana Putra,
Dungun, Terengganu
Selasa 17 September 2013.

 

1 comment:

  1. Apakah kita mahu...apakah kita rela...Derita Melayu ini...pasti menjadi cerita nestapa sampai bila-bila?

    ReplyDelete