Thursday, March 15, 2012

RENUNGAN AL-QURAN 62


ANTARA PERBUATAN-PERBUATAN KEJI

Allah Taala berfirman dengan maksudnya:

Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya(Al-Maa'idah:90)

Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)? (Al-Maa'idah:91)

Antara perkara-perkara yang perlu difahami dan dijadikan petunjuk ialah:

Pertama, Allah memerintahkan orang-orang yang beriman supaya menjauhi diri daripada empat perbuatan yang keji dan kotor (perbuatan maksiat) iaitu minum arak, berjudi, memuja berhala dan mengundi atau beradu nasib menggunakan batang-batang anak panah kerana semua perbuatan ini adalah perbuatan keji dari perbuatan Syaitan.

Kedua, Allah mengingatkan bahawa sesungguhnya Syaitan itu sentiasa bermaksud menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara orang-orang beriman berpunca daripada arak dan judi. Perbuatan minum arak dan berjudi menyebabkan manusia berpaling daripada mengingati Allah dan bersembahayang.

Ketiga, Allah menyoal apakah orang-orang yang minum arak dan berjudi ini mahu berhenti daripada perbuatan ini atau masih terus berdegil?

Sekian,Was’salam!


No comments:

Post a Comment